Bagaimana Filem 3D Dihasilkan?




Assalamualaikum dan Salam Ceria,

Saya pasti kebanyakan pembaca sudah rasa pengalaman menonton wayang 3D bukan? Filem-filem seperti Avatar, Clash of The Titans, Alice in Wonderland, How to Train Your Dragon, Despicable Me dan bermacam-macam lagi filem-filem yang memberikan suatu pengalaman menonton yang berbeza. Pengalaman seperti melihat daun-daun bertaburan di depan mata, bintang-bintang bergerak ke arah penonton, dan yang lebih "ganas" lagi nak mengelak batu yang dibaling..terasa real kan?Hehehe.. Tapi di sebalik kecanggihan filem 3D tersebut, tahukah pembaca bagaimana filem-filem 3D ini dilakukan?

Mengikut sejarah, filem 3 dimensi telah bermula seawal tahun 1950-an lagi dan sedikit demi sedikit menjadi popular sebagai salah satu pilihan penerbit-penerbit filem. Secara amnya, kadar peningkatan pembikinan filem 3D pada 2009 adalah sebanyak 250 peratus dan dijangka akan bertambah pada tahun 2010 (Screen Digest).






Penglihatan Binokular dan Filem 3D (Asas Biologikal Yang Mesti Difahami)

Secara asasnya, kebanyakan daripada kita melihat menggunakan kedua-dua belah mata. Keupayaan inilah yang menjadikan ilusi 3D dilihat sebagai benar. Kedua-dua mata kita dipisahkan lebih kurang dua inci dan ini bermakna setiap mata akan melihat kepada satu objek pada perspektif yang berbeza. Otak pula akan menggunakan maklumat kedua-dua mata tersebut untuk mengesan dengan cepat jarak objek yang dilihat tadi.

Ujian mudah untuk pembaca memahami prinsip di atas. Pegang satu objek contohnya sebatang pen (dalam keadaan menegak) dan pegang pada jarak 2 kaki dari mata. Pejamkan sebelah mata dan lakukan secara selang seli di antara mata kanan dan kiri. Buat beberapa kali dan pembaca akan dapat melihat objek tersebut bergerak setiap kali pembaca cuba menutup sebelah mata. Untuk keputusan yang lebih baik, lakukan menghala dinding kosong berwarna gelap sebagai background pen tadi.

Inilah asas yang digunakan filem-filem 3D selama ini. Filem tersebut akan dibikin pada dua salinan dan akan "ditindihkan" pada perspektif yang berbeza. Menggunakan beberapa format (dibincangkan lebih lanjut di bawah), filem 3D akan "membenarkan" setiap mata akan melihat satu objek sahaja pada satu-satu masa. Kemudian, otak akan menggabungkan dua objek yang dilihat kedua-dua mata tadi dan terbentuklah imej dengan ilusi kedalaman iaitu imej 3 Dimensi.

Semasa menonton filem 3D, cuba buka kacamata 3D dan anda akan melihat imej yang tidak sharp langsung. Ini adalah disebabkan seperti apa yang saya terangkan di atas iaitu penggabungan dua filem yang mempunyai perspektif yang sedikit berbeza.


1. Format Klasik Merah dan Biru Filem 3D 

Filem ini menggunakan format anaglyph, iaitu menghasilkan kesan 3D dengan menggunakan dua warna yang berbeza pada objek. Kacamata khas yang mempunyai dua warna berbeza akan bertindak sebagai "penapis" warna iaitu membenarkan mata melihat warna yang bertentangan dengan skrin dan menghasilkan ilusi kedalaman pada imej 3D.  Konsep inilah yang digunakan. Saya masih lagi teringat masa sekolah dulu, kawan-kawan bawa majalah dinosaur 3D ke sekolah dan kami sangatlah kagum pada masa tu. Bila dah besar ni barulah tau macam mana dibuat kesan 3D tu..


2. Format Polarisasi Filem 3D

Polarisasi merupakan kaedah yang berbeza untuk mengasingkan imej. Untuk pengetahuan pembaca, cahaya adalah terbentuk daripada pelbagai gelombang dan ia bergerak dalam pelbagai arah. 

Polarisasi filem 3D akan "membenarkan" gelombang cahaya melalui secara menegak (vertikal) pada satu mata dan pada satu mata lagi, gelombang cahaya akan melalui secara melintang (horizontal). Otak akan menggabungkan kembali kedua-dua objek yang dilihat pada arah gelombang berbeza tadi  dan menghasilkan ilusi kedalaman pada imej 3D.

Terdapat lagi beberapa kaedah yang telah dicipta tetapi masih tidak dapat dikomersialkan kerana kos yang terlalu mahal. Mungkin kita kena tunggu beberapa tahun lagi dan mungkin pengalaman 3D akan terus menjadi pengalaman lebih hebat.

Sebelum saya mengakhiri post kali ni, saya ada satu soalan cepu emas 999 kepada pembaca semua. Bolehkah orang yang mempunyai masalah juling merasai pengalaman 3D? Fikir-fikirkan..

Wassalam...

P/S: Sila klik link di bawah untuk mengetahui punca pening kepala semasa menonton wayang 3D

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komentar:

Blog-Blog Lain Yang Menarik