Kedai-Kedai Optikal Malaysia Sedang Diserang?



Assalamualaikum dan salam ceria,

Ya kedai-kedai optikal di seluruh Malaysia sedang diserang! Serangan yang dimaksudkan bukanlah berupa serangan makhluk-makhluk asing ataupun serangan virus trojan mahupun virus-virus cinta. "Serangan" yang saya maksudkan ialah operasi yang sedang dilakukan oleh MAJLIS OPTIK MALAYSIA atau MOM di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia terhadap kedai-kedai optikal yang tidak mempunyai lesen sah yang menjual kanta sentuh tanpa preskripsi Optometris atau Juruoptik (Qualified Optician). Atau dalam bahasa yang lebih mudah difahami, menjual kanta sentuh secara haram kepada pengguna.


Kasar sungguh perkataan haram tu yek.. Tapi itulah hakikat sebenar trend jualan kanta sentuh di Malaysia. Kanta sentuh dijual secara over the counter iaitu tanpa preskripsi Optometris atau Juruoptik.

Saya pasti mesti ramai yang tertanya-tanya mengapa perlunya preskripsi pakar mata untuk membeli kanta sentuh. Tidak kurang juga ramai yang akan mengeluh kerana mengalami sedikit kepayahan dalam membeli kanta sentuh selepas ini. Oleh itu, kita akan berbincang dan memahami kesignifikan membeli kanta sentuh dengan pengesahan atau preskripsi.


MENGAPA PEMBELIAN KANTA SENTUH MEMERLUKAN PRESKRIPSI?

Kanta Sentuh

Kanta sentuh juga dipanggil sebagai kanta lekap atau dalam Bahasa Inggeris dipanggil contact lens. Walau apa jua nama yang dipanggil kanta sentuh diklasifikasikan sebagai alat perubatan. Sama juga seperti ubat yang dipreskripsi doktor, kanta sentuh juga sebenarnya memerlukan preskripsi untuk mendapatkannya.

Seperti yang diketahui, peranan kanta sentuh adalah sama seperti kacamata iaitu sebagai bantuan penglihatan. Cuma yang membezakannya hanyalah cara pemakaian yang ternyata berlainan sama sekali. Cara pemakaian kanta sentuh yang lebih kompleks dan adanya contacts atau sentuhan dengan kornea (mata hitam) menjadikan pemakaian kanta sentuh wajib melalui pemeriksaan mata yang teliti.


Memahami Kornea

Apabila berbincang berkenaan dengan kanta sentuh kita tidak boleh terlepas daripada berbincang berkenaan dengan kornea. Kornea merupakan bahagian lutsinar yang terletak di bahagian paling depan pada bola mata dan merupakan kawasan yang paling sensitif pada tubuh badan manusia. Bahagian ini terdedah kepada persekitaran dan dilindungi dengan lapisan epitelium yang sangat nipis selain bantuan dari kelipan kelopak mata.

Ada beberapa sifat kornea penting yang perlu diambil perhatian oleh setiap individu. Pemahaman terhadap sifat kornea ini akan membantu anda mengetahui mengapa preskripsi diperlukan untuk pemakaian kanta sentuh. Sifat-sifat tersebut adalah:


  1. Kornea adalah kawasan di mana tamatnya  hujung saraf. Oleh itu kornea sangat sensitif dengan sentuhan, suhu dan bahan kimia. Sebarang sentuhan yang berlaku akan meyebabkan kelipan mata secara refleks.
  2. Tidak mempunyai salur darah. Oleh itu kornea bersifat lutsinar tanpa kehadiran salur darah yang berselirat.
  3. Sel-sel kornea mendapatkan bekalan oksigen terus menerus dari udara luar. Oksigen akan menyerap pada air mata dan kemudian akan dibekalkan kepada kornea.
  4. Menerima zat makanan dari air mata (dari luar) dan aqueous humor (dari dalam) serta dari neutrofin (dari saraf)

Sifat-sifat tersebut menunjukkan fungsi kornea yang normal tanpa sebarang gangguan pada strukturnya. Oleh itu  sebarang gangguan yang dikenakan akan menyebabkan fungsi kornea akan sedikit terganggu. 

Kanta sentuh juga diklasifikasikan sebagai "gangguan" kepada kornea. Pemakaian kanta sentuh yang tidak betul akan menyebabkan "gangguan" kepada kornea yang dapat dikesan melalui tanda-tanda tersebut:

  • Penglihatan yang kabur
  • Ketidakselesaan pada mata setelah pemakaian selama beberapa jam
  • Inflamasi (kemerahan)
  • Kebengkakan
Inflamasi

Walaubagaimanapun masalah-masalah tersebut dapat dihindarkan dengan menggunakan jenis kanta sentuh yang betul, teknik dan tempoh pemakaian yang tepat. Oleh itu, kanta sentuh yang dianggap sebagai "gangguan" tadi akan berubah menjadi suatu alat yang sangat berguna kepada kita.


Bagaimana Untuk Mendapatkan Kanta Sentuh Yang Tepat Untuk Mata

Untuk mendapatkan kanta sentuh yang bertepatan dengan mata, anda memerlukan bantuan daripada Optometris atau Juruoptik untuk menjalankan pemeriksaan kepada mata anda. Pemeriksaan rutin yang akan dijalankan adalah seperti berikut:

  1. Pengukuran permukaan bola mata dan kelengkungan kornea.
  2. Pengukuran pupil (anak mata) dan iris mata.
  3. Penilaian kualiti air mata.
  4. Penilaian kesesuaian kanta sentuh dengan mata sama ada terlalu ketat atau terlalu longgar.



Pengukuran dan penilaian tersebut merupakan pemeriksaan rutin yang akan dilakukan terhadap mata anda. Melalui pemeriksaan tersebut, Optometris atau Juruoptik akan menentukan kanta sentuh yang mana sesuai dengan mata anda. Selain itu beberapa perkara yang perlu diambil perhatian ialah:


  1. Optometris atau Juruoptik akan menjalankan pemeriksaan mata secara berkala untuk memastikan tiada sebarang komplikasi yang timbul semasa anda memakai kanta sentuh. 
  2. Jika terdapat sebarang masalah, anda boleh merujuk kembali kepada mereka.


Pemeriksaan mata tersebut akan saya kupas secara mendalam lagi pada post yang akan datang.


Mungkin ada yang berpendapat susahlah lepas ni nak beli kanta sentuh. Mungkin sedikit susah tetapi para pemakai kanta sentuh perlu juga memikirkan kesan buruk yang bakal diterima jika tidak mengambil langkah yang disarankan. Peranan MOM bukanlah untuk menyusahkan tetapi ingin menyelamatkan rakyat Malaysia dari terdedah kepada bahaya kebutaan yang disebabkan kesalahan pemakaian kanta sentuh.

Sebelum terkena, baik cegahnya dulu..ye tak..?

Wassalam...

3 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

3 ulasan:

  1. assalamualaikum.saya nak bertanya sedikit,saya ada membeli contant lens di kedai optikal tapi pakar optik tu tadi buat pemeriksaan yang selanjutnya.dia cuma check power cermin mata saya dan check mata saya pakai cara manual.so,adakah saya kena pergi hospital tu buat pemeriksaan yang selanjutnya?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikummussalam Fatin Nabilla, tak perlu pun xpe sebab adik boleh buat follow up di kedai tu semula. Sepatutnya adik perlu buat follow sebulan selepas beli contact lens tu..kalau adik nak follow up di praktis optometris lain saya boleh cadangkan di kawasan yang adik tinggal.. :)

      Padam
  2. Tanpa Nama7:48 PG

    A very big retail store is selling contact lens without any registered optometrist/optician at IOI mall in Puchong. Hope Majilis Optik take actions.

    BalasPadam

Blog-Blog Lain Yang Menarik