Kesan Daya GForce Terhadap Mata Anda
Assalamualaikum dan salam kelajuan kepada semua pembaca...
Kelmarin Litar Antarabangsa Sepang sekali lagi menjadi saksi perlumbaan bintang-bintang sukan permotoran untuk berentap merebut gelaran dunia. Walaupun hujan namun perlumbaan tetap hebat dan menarik. Apapun syabas kepada Casey Stoner, Dani Pedrosa dan Rossi The Doctor yang berjaya menaiki podium dan kepada Valentino Rossi, jutaan tahniah kerana dinobatkan sebagai juara MotoGP dunia kali ke-7 dan yang ke-9 secara keseluruhan termasuk kejayaannya dalam kelas 125cc (tahun 1997) dan kelas 250cc (tahun 1999). Fuhh....memang otai!! Tidak lupa juga kepada pelumba negara kita Elly dan Zulfahmy yang berjaya menamatkan perlumbaan kelas 125cc. Elly berada di tempat ke 16 manakala Zulfahmy di tempat yang ke 20. Tahniah diucapkan. Good start dude!
_______________________
Kita tinggalkan dulu MotoGP kerana ada perkara menarik ingin saya kongsi bersama pembaca berkenaan dengan sukan permotoran ini dengan penglihatan manusia. Ianya berkaitan dengan G Force atau dalam Bahasa Malaysia disebut Daya G. Sebenarnya bukan hanya pelumba motor yang mengalami kesan ini tetapi
1. juruterbang jet pejuang
2. pelumba kereta seperti F1
3. penumpang roller-coaster
Ok sebelum kita bersembang panjang berkenaan kaitan kesan G Force dengan sistem penglihatan manusia, mari kita sama-sama fahamkan apa yang dimaksudkan dengan G Force. Tentunya ada antara anda yang dapat meneka apa yang dimaksudkan dengan huruf "G". "G" itu membawa maksud sebagai "Gravity (Graviti)" manakala Force atau Daya adalah berkaitan dengan Pecutan iaitu berlaku semasa kita mengubah kelajuan sama ada dari perlahan ke lebih laju atau sebaliknya. Oleh itu, dalam kehidupan seharian, semasa anda memandu kereta dan meningkatkan kelajuan atau membelok semuanya berkaitan dengan G Force cuma nilai daya yang dikenakan sama ada kecil atau besar bergantung kepada pemanduan anda. Terkenang pulak masa belajar Fizik Form 4,5 dulu...hehehe..
- G Force yang berlaku pada objek pegun di atas permukaan bumi adalah sebanyak 1 g.
- G Force yang berlaku pada objek yang jatuh-bebas di dalam bekas vakum adalah 0 g.
- Tetapi jika sesuatu objek mula memecut, G Force yang terhasil adalah lebih daripada 1 g.
- G Force yang berlaku pada objek yang hilang kelajuan secara drastik (contoh-roller coaster yang sedang bergerak "mendaki" puncak rel yang tegak) nilainya boleh menjadi negatif.
Untuk lebih memahami konsep G Force ini, saya berikan anda satu contoh. Jika seseorang mempunyai berat 60kg dan pegun (tidak bergerak), beliau dikenakan G Force sebanyak 1g. Oleh itu berat beliau masih lagi 60kg. Tetapi jika beliau berada di dalam kereta yang membrek, membelok dan memecut, beliau akan merasai G Force yang lebih daripada 2g. Pada nilai G Force 3 g, berat beliau akan bertambah sebanyak 180kg untuk beberapa saat bergantung kepada berapa lama nilai 3 g yang dialami. Bayangkan jika anda sedang memecut laju contohnya di dalam superbike atau kereta lumba atau roller-coaster atau yang lebih hebat lagi jet pejuang yang tentunya mempunyai kuasa pecutan yang sangat besar. Badan anda akan menanggung berat yang bertambah berkali ganda untuk beberapa saat dan tentunya ia akan memberikan kesan kepada fisiologi (fungsi) badan anda.
KESAN PADA TUBUH BADAN
Jika G Force yang dikenakan terhadap badan seseorang itu sangat besar iaitu lebih dari 6 g, kesan yang akan dialami adalah seperti berikut:
- Kesukaran bernafas. Ini disebabkan daya yang menarik rusuk ke bawah dan secara tak langsung menarik paru-paru dan kadang kala mengosongkan udara yang berada di dalam paru-paru.
- Yang lebih bahaya ialah darah "ditarik" ke bawah jauh dari otak dan jatuh ke bahagian kaki. Ini juga dipanggil sebagai hypoxia.
KESAN PADA PENGLIHATAN
Seperti yang saya maklumkan di awal-awal tadi, G Force juga akan memberikan kesan kepada penglihatan kita. Kesannya adalah seperti berikut:
- Penglihatan sisi atau periferi anda mula menghilang dan menyebabkan anda mengalami tunnel vision. Untuk demonstrasi tunnel vision anda boleh gunakan tangan anda. Gulungkan jari anda dan buat seperti teropong Jack Sparrow. Lihat melalui "teropong" tersebut dan anda akan perasan bahawa medan penglihatan anda akan menyempit iaitu anda tidak dapat melihat kawasan di tepi anda.
- Anda akan melihat objek dalam keadaan warna hitam dan putih sahaja.
- Jika G Force yang dikenakan untuk jangka masa yang lebih panjang, kemungkinan anda akan mengalami kesan yang lebih teruk iaitu kehilangan penglihatan secara drastik atau dipanggil sebagai blackout.
Jika lebih lama lagi G Force dikenakan, anda akan tidak sedarkan diri untuk sementara dan ini dipanggil sebagai g-LOC (g induced Loss Of Consciousness).
G Force NEGATIF
Berbeza dengan G Force positif, kesannya adalah terbalik dengan G Force positif. Seperti yang dimaklumkan seperti di atas, G Force negatif berlaku semasa pecutan perlahan iaitu apabila jentera yang dinaiki membrek atau kehilangan kelajuan dengan drastik. Kesannya adalah seperti berikut:
- Anda akan merasakan diri anda "kehilangan" berat dengan drastik.
- Darah di dalam badan akan "ditolak" ke atas iaitu bahagian kepala dan otak.
- Berbeza dengan G Force Positif, daya yang sekecil 2-3 g juga mampu menyebabkan salur darah di dalam mata anda pecah. Oleh itu, mata anda akan kelihatan merah (bloodshot).
Jom tengok video di bawah ini untuk melihat kesan G Force terhadap juruterbang jet pejuang. Agak lucu bila tengok respons mereka tapi bila fikir balik agak seram juga...
Latihan G Force oleh rekrut-rekrut juruterbang jet pejuang US.
Agak menyeramkan yek? Agak la kan...Tetapi para pembaca tidak perlu risau kerana telah banyak teknologi yang telah direkacipta untuk mengelakkan kesan-kesan di atas daripada berlaku. Kita mulakan dengan juruterbang jet pejuang. Apa yang perlu dipakai oleh mereka untuk mengelakkan mereka tidak berasa selesa dengan G Force yang besar dikenakan ke atas badan mereka.
Juruterbang Jet Pejuang
Mereka akan memakai sut khas yang dipanggil sebagai G suit atau Anti G Suit yang berperanan untuk mengelakkan blackout dan g-LOC. Secara asasnya G suit ini terdiri daripada seluar panjang yang dihubungka dengan sistem pneumatik jet pejuang tersebut. Semasa G Force yang besar dikenakan, udara akan dipam ke dalam kantung udara di dalam G suit tersebut dan G suit akan menjadi ketat di bahagian kaki dan abdomen supaya darah dapat dikekalkan di bahagian badan dan otak juruterbang.
Pelumba kereta
Contoh yang saya ambil ialah perlumbaan kereta yang masyur di negara kita iaitu Formula 1. G Force yang dialami oleh pelumba F1 adalah kebanyakannya melibatkan kawasan kepala dan leher pemandu. Oleh itu, sebuah sistem yang dinamakan sebagai HANS (Head and Neck Safety) System telah dibangunkan di mana kepala dan helmet akan dipegang oleh sistem tersebut secara longgar dan membenarkan pergerakan bebas yang dihasilkan oleh sistem tali keledar keselamatan sahaja untuk mengurangkan risiko kecederaan leher yang disebabkan pergerakan ke belakang atau ke depan secara drastik oleh kepala pemandu.
Lewis Hemilton sedang memakai HANS System di tengkuknya
Untuk memahami lagi bagaimana G Force berlaku pada pemandu F1, sila lihat video di bawah ini
Pelumba Motor
Bagi pelumba motor contohnya seperti MotoGP, sebenarnya G Force yang dialami oleh pelumba tidaklah seteruk pelumba kereta. Ini adalah kerana posisi mereka ketika membelok di mana posisi mereka yang menyengetkan badan dan menghampiri litar menyebabkan kurangnya G Force yang dialami oleh mereka. G Force yang besar dialami oleh pelumba semasa membrek untuk masa yang singkat. Oleh itu beberapa modifikasi telah dilakukan untuk mengurangkan seperti posisi pelumba semasa duduk di atas mesin iaitu ketika motor dalam keadaan tegak. Selain itu helmet juga telah diubahsuai bagi mengurangkan G Force. Pertama sekali, helmet tersebut tidak terlalu berat bagi pelumba kerana seperti yang saya maklumkan di awal tadi, lebih berat sesuatu objek lebih tinggi G Force yang dikenakan. Selain itu, rekaan bahagian dalaman helmet mempunyai EPS yang lembut berupaya menyerap hentakan.
Roller Coaster
Bila dengar perkataan Roller Coaster, pasti ramai yang kecut perut atau mengerikan (lagi-lagi kalau baru tengok Final Destination 3...) atau tak kurang juga yang teruja dan ketagih untuk naik roller coaster yang tentunya ekstrim dan "ganas". Bagi mereka yang pernah menaiki roler coaster, tahukah anda yang anda mengalami G Force yang besar sehingga sebesar 5 g. Ini bermakna berat anda mencapai 5 kali ganda berat anda! Tetapi anda tidak perlu risau kerana daya 5 g tersebut hanya berlaku seketika iaitu nanosaat sahaja dan itulah yang memberikan kesernokan menaiki roller coaster. Satu lagi perkara yang anda tidak perlu risau ialah setiap roller coaster yang dicipta hari ini mempunyai G Force yang tidak melebihi 5g. Dan satu lagi fakta menarik iaitu menaiki roller coaster akan memberikan stimulasi berbeza kepada otak anda yang tidak dirasai dalam keadaan normal. Secara tidak langsung anda akan berasa lebih sihat dan bertenaga! Oleh itu tidak hairanlah jika ada sesetengah orang yang ketagih untuk naik "kenderaan" ekstrim ini.
Yessszassslayaaannnn.....