20 Soalan Popular Kanta Sentuh (FAQ)





Assalamualaikum dan Salam Ceria,

Berikut saya kumpulkan soalan-soalan cepu emas yang sering ditanya di kalangan mereka yang berminat untuk memakai kanta sentuh. Moga ini akan menjadi panduan bersama.


"Benarkah pemakaian kanta sentuh boleh menyebabkan BUTA kepada pemakainya?"
Pemakaian kanta sentuh memerlukan penjagaan yang rapi oleh pemakainya kerana kanta sentuh sangat sensitif dengan kebersihan. Jika pemakai tidak mengamalkan disiplin kebersihan yang tinggi dan waktu pemakaian yang tepat, akan meningkatkan risiko jangkitan kuman pada mata mereka. Jangkitan kuman ini jika tidak dirawat segera akan merosakkan mata terutama di bahagian kornea. Inilah yang akan menyebabkan buta.

Secara umumnya, kanta sentuh tidak menyebabkan buta SELAGI dua syarat ini dipenuhi:


  1. Disiplin kebersihan yang tinggi
  2. Tempoh pemakaian yang tepat (akan dibincangkan secara lanjut di bawah)


"Adakah mudah untuk pakai kanta sentuh?"
Ya. Memakai kanta sentuh adalah sangat mudah jika anda ikut teknik-teknik yang betul semasa memakainya. Jika anda kali pertama untuk memakai kanta sentuh dan tiada pengetahuan langsung, jangan risau. Optometris anda akan membantu 24/7.


"Sakit tak kalau pakai kanta sentuh?"
Tidak tetapi untuk kali pertama memakai kanta sentuh, mata akan berasa sedikit kurang selesa. Jangan risau sebab ketakselesaan tersebut hanyalah sementara sahaja.


"Mengapa saya perlu pakai kanta sentuh?"
Pada kebiasaannya, anda akan dicadangkan untuk memakai kanta sentuh jika:

  1. Power mata anda tinggi. Selalunya power -4.00 dan ke atas.
  2. Perbezaan power mata kanan dan kiri melebihi ±1.00.
  3. Anda tidak selesa dengan pemakaian kacamata. Ketidakselesaan tersebut termasuk penglihatan yang kurang memuaskan atau penglihatan terganggu dengan bingkai kacamata atau kurang keyakinan diri jika memakai kacamata (psikologi).


"Berapa lama tempoh masa untuk mata saya beradaptasi dengan kanta sentuh pertama saya?"
Bergantung kepada tahap sensitiviti mata individu tersebut. Bagi mereka yang mempunyai sensitiviti mata yang tinggi, kemungkinan tempoh adaptasi lebih panjang berbanding dengan mereka yang mempunyai sensitiviti mata yang rendah.  Optometris boleh menjalankan pemeriksaan untuk menentukan mata anda berada pada kumpulan mana. Sila tanya pada mereka jika mereka lupa untuk beritahu.


"Adakah sukar untuk menjaga kanta sentuh?"
Kanta sentuh berkait rapat dengan kebersihan kendiri. Bagi mereka yang mengamalkan kebersihan secara tiptop, menjaga kanta sentuh tidak sesukar yang digambarkan.


"Bolehkah kanta sentuh saya hilang di belakang bola mata saya?"
Tidak. Kanta sentuh yang dislocate tidak akan hilang di belakang bola mata anda. Kebiasaannya kanta sentuh yang dislocate akan berada di bahagian kelopak mata atas atau di bahagian atas bola mata dan BOLEH dikeluarkan.


"Berapakah umur yang sesuai untuk kanak-kanak mula memakai kanta sentuh?"
Sebenarnya tiada had umur yang ditetapkan untuk kanak-kanak memakai kanta sentuh. Semuanya bergantung kepada tahap kepandaian dan kebertanggungjawaban kanak-kanak tersebut. Bahkan ada juga kes untuk bayi seawal umur 6 bulan terpaksa dipakaikan kanta sentuh seperti yang berlaku pada bayi yang mengalami katarak kongenital. Untuk kes seperti ini, pemakaian dan penjagaan sepenuhnya bergantung kepada ibubapa atau penjaga bayi.


"Apakah jenis-jenis kanta sentuh yang berada di pasaran Malaysia?"
Terdapat banyak jenis kanta sentuh yang dipasarkan di Malaysia. Secara umumnya kanta sentuh yang terdapat di pasaran adalah jenis lembut (soft contact lens) dan kanta sentuh keras (rigid gas permeable).

Kanta sentuh lembut terdiri daripada kanta sentuh pakai buang harian, kanta sentuh pakai buang bulanan dan kanta sentuh kekal.


"Mana yang TERBAIK? Kanta sentuh pakai buang harian atau kanta sentuh pakai buang bulanan atau kanta sentuh kekal?"
Kalau mengikut carta, kanta sentuh pakai buang harian (Daily disposable contact lens) adalah kanta sentuh terbaik untuk mata anda. Diikuti dengan kanta sentuh pakai buang bulanan (Monthly disposable contact lens) dan kanta sentuh kekal (Permanent contact lens).


"Berapa jamkah sehari yang dibolehkan untuk saya memakai kanta sentuh?"
Bergantung kepada jenis kanta sentuh yang anda beli. Saya senaraikan di sini tempoh pemakaian yang bersesuaian dengan kanta sentuh.

8 jam
12 jam
6:1 iaitu 6 hari tanpa buka kanta sentuh, 1 hari buka kanta sentuh
30 hari tanpa buka kanta sentuh

Anda perlu mengetahui kanta sentuh jenis apa yang dipakai dan tempoh masa yang bersesuaian. Bagaimana nak tahu? Tanya kepada Optometris anda.


"Bilakah waktu yang terbaik untuk saya beli kanta sentuh yang baru?"
Waktu terbaik untuk anda beli kanta sentuh baru ialah setelah kanta sentuh yang dipakai tamat tempohnya berserta gaji yang dah masuk dalam akaun anda. =)



"Bolehkah saya beli kanta sentuh yang dijual di pasar malam, uptown atau di kedai-kedai kosmetik?"
TIDAK BOLEH.


"Mengapa?"
Sebab kebanyakan kanta sentuh yang dijual di sana bukan dari jenis kanta sentuh yang disahkan dan tidak selamat untuk mata anda WALAUPUN UNTUK PAKAI DALAM TEMPOH MASA YANG SEKEJAP. Dan penjualan kanta sentuh hanya dibenarkan kepada mereka yang mempunyai lesen sahaja iaitu Optometris kerana pembelian kanta sentuh harus disertakan dengan preskripsi dan konsultasi pemakaian. Sila rujuk di link di bawah untuk keterangan lanjutan berkenaan preskripsi dan konsultasi:


Kedai-Kedai Optikal Malaysia Sedang Diserang?



"Manakah yang lebih mahal? Kanta sentuh pakai buang harian (Daily disposable contact lens) atau kanta sentuh pakai buang bulanan (Monthly disposable contact lens)?"
Jika mengikut perkiraan mudah kanta sentuh pakai buang harian lebih mahal sedikit berbanding dengan kanta sentuh pakai buang bulanan. Namun begitu, jika anda memakainya sekali sekala, maka ianya jauh lebih jimat berbanding dengan kanta sentuh pakai buang bulanan.


"Di manakah tempat TERBAIK untuk saya beli kanta sentuh?"
Tempat terbaik untuk beli kanta sentuh ialah di kedai-kedai yang mempunyai Optometris yang berkelayakan untuk mempreskripsi kanta sentuh. Jika anda terlalu sibuk dan ingin beli secara online pastikan website tersebut mempunyai lesen untuk menjual kanta sentuh.


"Mengapakah Doktor atau Optometris saya meminta saya untuk kembali hadir ke praktis/kedai mereka selepas sebulan saya beli kanta sentuh?"
Ini kerana mereka ingin membuat pemeriksaan lanjutan (aftercare) terhadap mata anda samaada mata anda mempunyai sebarang perubahan atau terdapat sebarang komplikasi pada mata anda setelah memakai kanta sentuh untuk satu tempoh tertentu. Ini juga penting untuk menentukan kanta sentuh tersebut sesuai dengan mata anda atau tidak.



"Apa yang perlu dilakukan jika mata saya tiba-tiba sakit dan merah semasa memakai kanta sentuh?"
Keluarkan kanta sentuh tersebut serta merta dan berhenti untuk memakai kanta sentuh tersebut. Buang dan biarkan mata anda untuk pulih seketika. Pakai kacamata untuk sementara waktu dan terus berjumpa dengan Optometris anda untuk pemeriksaan lanjut. Selalunya anda akan dinasihatkan untuk berhenti memakai kanta sentuh untuk seketika sehingga mata pulih sepenuhnya.


"Adakah bagus untuk memakai kanta sentuh warna?"
Pemakaian kanta sentuh warna tidak banyak bezanya dengan pemakaian kanta sentuh biasa. Jika anda disiplin dengan kebersihan dan waktu pemakaian, kanta sentuh warna adalah sesuai untuk anda. Jika tidak, kanta sentuh warna mahupun kanta sentuh biasa tidak sesuai untuk anda.




"Bagaimanakah untuk memilih kanta sentuh TERBAIK untuk saya?"

Untuk memilih kanta sentuh terbaik, anda perlu merujuk kepada Optometris yang berkelayakan. Buatlah sedikit pembacaan berkenaan kanta sentuh sebelum menghadiri temujanji dengan Optometris anda. Tanya kepada mereka apa yang anda kurang faham dari hasil pembacaan anda dan bincanglah dengan mereka apa yang anda perlukan. Saya pasti perbincangan tersebut akan menjadikan anda seorang pelanggan yang sangat berpuas hati dengan apa yang anda inginkan.

1 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

1 ulasan:

Blog-Blog Lain Yang Menarik