Trachoma: Punca Utama Kebutaan Manusia


Assalamualaikum dan salam ramadhan,

Masih lagi kita berada di dalam bulan yang penuh keberkatan dan keampunan ni. Dah masuk pertengahan ramadhan ni boleh la review balik performance puasa first quarter yang lepas kan. Mana-mana yang terlepas pandang tu boleh la diperbaiki. Ada masa lagi ni.. Yang nak kuruskan badan (termasuk saya ni hehe) pun ada banyak masa lagi.

Geli? Memang geli tapi macam mana budak ni boleh buat selamba tanpa rasa nak halau pun lalat-lalat yang kurang asam tu. Inilah yang sebenarnya yang terjadi di negara-negara miskin  seperti di kebanyakan negara Afrika, Timur Tengah dan Asia. Keadaan yang menyayat hati ini menyumbang kepada permasalahan kebutaan yang dipanggil sebagai TRACHOMA. Perkataan trachoma atau trakoma terbit dari perkataan Greek purba yang bermaksud mata kasar.

Trachoma merupakan jangkitan pada mata yang berpunca daripada bakteria Chlamydia Trachomatis. Trachoma merupakan masalah global yang telah dihidapi lebih daripada 84 juta orang di 56 negara di seluruh dunia dan dianggarkan seramai 8 juta orang telah kehilangan penglihatan mereka disebabkan masalah trachoma ini.



Faktor-Faktor
Kawasan yang dikenalpasti mengalami masalah trachoma ini adalah di benua Afrika dan Asia di mana terdapat banyak lagi kawasan pedalaman yang 
  1. Kekurangan sumber air bersih,  
  2. Kelemahan sistem sanitasi
  3. Kerendahan kualiti penjagaan kesihatan

Cara jangkitan trachoma adalah secara sentuhan pada tangan yang telah menyentuh mata yang terkena jangkitan sebelumnya, perkongsian barangan peribadi (tuala mandi, sapu tangan dan lain-lain), dan pembawaan jangkitan oleh vektor seperti lalat. 


Golongan yang terdedah
Pada kebiasaannya, penyakit ini terjadi kepada kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke bawah manakala di kalangan dewasa pula, kaum ibu paling banyak dijangkiti. Ini berpunca daripada anak-anak yang dijagai yang telah sedia dijangkiti trachoma dan berlaku sentuhan di antara mereka. Di beberapa kawasan pedalaman, seramai 60% ke 90% kanak-kanak di kawasan tersebut telah dijangkiti.


Simptom-Simptom
Jangkitan Trauchoma untuk pertama kali tidak akan menyebabkan kebutaan secara mendadak.  Tetapi keadaan akan menjadi lebih teruk jika jangkitan berlaku berulangkali sebelum jangkitan sebelumnya sembuh. Jangkitan untuk pertama kali akan menyebabkan konjunktivitis iaitu kemerahan pada mata.

Jangkitan yang berulangkali (Trauchoma Aktif) akan menyebabkan mata berair (watery discharge) dan jika terdapat jangkitan bakteria, mata akan mula mengeluarkan nanah (purulent discharge). Keadaan yang berlaku seterusnya ialah kelopak mata masuk ke dalam mata dan berlaku sentuhan bulu mata dengan kornea. Keadaan ini dipanggil Trichiasis (Trikiasis). 

Pada tahap ini, keadaan mata akan menjadi lebih teruk di mana sentuhan bulu mata akan menyebabkan calar pada kornea dan akan mengakibatkan kornea menjadi opaque atau legap. Pada tahap yang dipanggil sebagai Cicatricial Trachoma menyebabkan mata akan berasa sakit dan menyebabkan kebutaan.

Simptom-simptom lain yang berkaitan adalah seperti berikut:
  • Kemerahan, berair dan kebengkakan pada mata
  • Ketumbit
  • Sakit pada mata, calar pada kornea (corneal scarring)
  • Sensitif kepada cahaya




Gambar atas kiri: Konjunktivitis; Gambar atas kanan: Calar pada kornea; Gambar bawah: Ketumbit




 Usaha Pengawalan

Rawatan untuk trachoma difokuskan kepada usaha merawat simptom trauchoma aktif dan usaha pencegahan pada masa akan datang. Sebuah usaha komprehensif yang telah diluluskan oleh WHO, dinamakan sebagai SAFE, sedang menjalankan usaha usaha merawat epidemik trachoma di kawasan pedalaman Afrika dan beberapa kawasan pedalaman di negara-negara miskin yang lain. SAFE bermaksud Surgery (Pembedahan), Antibiotics (Antibiotik), Facial Cleanliness (Kebersihan Muka) dan Environmental educational efforts (Pendidikan persekitaran)

  • SAFE
  • Antibiotik termasuk azythromycin (Zithromax) yang didermakan oleh Pfizer Inc melalui International Trachoma Initiative.
  • Setakat ini masih tiada lagi vaksin untuk penyakit trachoma.

 International Trachoma Initiative (ITI)

 International Trachoma Initiative (ITI) telah diwujudkan sejak tahun 1998 lagi sebagai menyahut seruan WHO untuk mengurangkan dan seterusnya membasmi masalah trachoma. Tahun 2020 diisytiharkan sebagai tahun sasaran di mana masalah kebutaan yang disebabkan trachoma akan diselesaikan. Projek ini dipanggil sebagai GET2020. Pfizer Inc dan Yayasan Edna McConnell Clark merupakan pengaas bersama, melihat keperluan wujudnya sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengatasi masalah ini.


Senario di negara kita 

Alhamdulillah di Malaysia masalah trachoma ini adalah di peringkat yang rendah dan terkawal dan tidak termasuk di dalam senarai negara-negara yang mempunyai masalah trachoma. Ini disebabkan keadaan persekitaran yang boleh dikategorikan sebagai sangat "bersih" (berbanding dengan negara miskin tetapi apabila dibandingkan dengan negara maju, kita masih jauh terkebelakang).

Namun begitu di dalam keadaan yang sangat selesa ini, kita sering terlupa kepada golongan yang berada dalam keadaan yang sangat daif ini. Biasalahkan manusia...Senang Lupa, Susah Baru Nak Ingat.

Allah SWT Maha Hebat dan Maha Penyayang.  Allah SWT tahu kelemahan manusia yang selalu lupa. Oleh itu Allah SWT telah menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan untuk  kita kembali mentarbiyah diri. Merasai bagaimana kedaifan golongan yang tidak mampu untuk menyediakan kehidupan mereka kepada yang lebih baik. Dengan sebarang kelebihan dan kekuatan yang ada pada kita, bantulah mereka supaya mereka boleh merasai kehidupan seperti kita semua.

Wallahualam...

p/s: Masa ambil wudhu', teringat pada gambar budak kat atas tu.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komentar:

Blog-Blog Lain Yang Menarik