Ibn Haytham Bapa Optik Moden & Sumbangannya

Assalamualaikum dan salam ceria,

Sudah lama saya terfikir untuk menulis mengenai penglibatan tokoh-tokoh besar yang menyumbang dalam perkembangan dan pemajuan bidang kesihatan mata dan optikal. Oleh itu, dengan rasa besar hati saya menggunakan blog kecil ini sebagai usaha memperkenalkan tokoh-tokoh yang sangat mencintai ilmu dan mendedikasikan hidup mereka dalam bidang pengkajian yang mana menjadi sumber rujukan kita pada hari ini.

Abu Ali Hassan Al Haytham


Tokoh pertama yang saya ingin perkenalkan ialah Abu Ali Hassan Al Haytham (965 Basrah - 1039 Kaherah) yang terkenal dengan gelaran Bapa Optik Moden (Father of Modern Optics). Beliau yang dikenali sebagai Alhazen di Barat, merupakan pakar fizik yang terunggul melalui sumbangan besarnya terhadap kaedah optik dan saintifik.

Ibn Haytham dilahirkan dalam tahun 965 Masihi di Basrah dan mendapat pendidikan awal di Basrah dan Baghdad. Selain bidang optik dan fizik, beliau juga menyumbangkan jasa di dalam bidang anatomi, astronomi, kejuruteraan, matematik, perubatan, oftalmologi, falsafah dan psikologi.


KARYA AGUNG

Beliau telah dijemput ke Mesir oleh Al Hakim bi Amr Allah, pemerintah ke enam Kerajaan Fatimiyah namun melalui pengalaman pahit di mana beliau terpaksa berpura-pura tidak waras selepas tidak berjaya menyelesaikan masalah mengawal masalah banjir Sungai Nil. Beliau ditahan dari tahun 1011 sehinggalah kematian Al Hakim bi Amr Allah iaitu pada tahun 1021. Semasa tempoh penahanan inilah, Ibn Haytham telah menghasilkan karya agung yang melayakkan beliau digelar Bapa Optik Moden iaitu 

Kitab Al Manazir 
(Book of Optics)


Kitab Al Manazir merupakan salah satu di antara karya berpengaruh di dalam sejarah fizik dan disenaraikan sebaris dengan karya Isaac Newton, Philosophiae Naturalis Principia Mathematica. Karya agung ini mempunyai tujuh bab yang meliputi optik, fizik, matematik, anatomi dan psikologi. Buku ini secara asalnya ditulis dalam Bahasa Arab kemudiannya telah diterjemah ke Bahasa Parsi, Latin dan Itali dalam masa beberapa abad.

Pengaruh terpenting buku ini ialah membuktikan bahawa cahaya sebenarnya terhasil dari objek yang dilihat. Ini menyangkal sama sekali teori yang dibuat oleh Euclid dan Ptolemy yang mengatakan bahawa mata yang menghasilkan cahaya ke atas objek yang dilihat (Persepsi Visual atau Visual Perception). Ibn Haytham juga merupakan manusia pertama yang memperincikan secara tepat pelbagai bahagian mata dan memberi penjelasan saintifik mengenai proses penglihatan. 

Selepas tamatnya tempoh penahanan beliau, Ibn Haytham menulis beberapa risalah lagi berkenaan dengan fizik, astronomi dan matematik. Kemudian beliau berhijrah ke Sepanyol dan menyambung kembali "percintaan" beliau dengan ilmu dengan menghasilkan beberapa lagi karya hebat.

Antara pelajar-pelajar beliau, hanya dua sahaja yang dapat dikenalpasti iaitu Sorkhab (Sohrab), pelajar berbangsa Parsi yang kemudian menjadi tokoh hebat di Iran, dan Abu Al Wafa Mubashir ibn Fatek, iaitu rakyat Mesir terkenal yang mempelajari Matematik dari Ibn Haytham.


PENCAPAIAN DAN SUMBANGAN

Ibn Haytham juga terkenal dengan eksperimennya yang berkaitan dengan optik seperti eksperimen dengan pelbagai jenis kanta, cermin, refraksi, refleksi (pantulan) dan penyerakan cahaya. Beliau mengkaji pembiasan cahaya melalui medium yang telus seperti air dan udara. Dari kajian tersebut, Ibn Haytham berjaya menemui konsep pembiasan.

Beliau juga hampir membuat penemuan mengenai teori kanta pembesar semasa kajian mendalam beliau mengenai segmen sfera (gelas yang diisi air). Teori ini dibangunkan di Itali pada tiga abad kemudiannya. Snell dan Descartes pula terpaksa mengambil masa selama tiga abad kemudiannya untuk mencadangkan mengenai teori sinus.

Beliau juga mengkaji penglihatan binokular (binocular vision) dan Ilusi Bulan (Moon Illusion), yang menjelaskan pembesaran ketara saiz matahari dan bulan semasa mendekati garis horizon. Selain itu, Ibn Haytham menjelaskan teori kelajuan cahaya dan mempersoalkan teori cahaya terbentuk dari partikel yang bergerak secara lurus.
      
              Kamera Obscura                             Pinhole Camera


Ibn Haytham merupakan manusia pertama yang yang memberikan penjelasan yang jelas dan membetulkan analisis terhadap kamera obscura dan kamera lubang (pinhole camera - seperti kamera moden sekarang). Semasa Aristotle, Theon of Alexandria, Al-Kindi dan falsafah Cina menjelaskan kesan cahaya melalui lubang kecil, namun tiada seorang daripada mereka pun yang menjelaskan apa yang dihasilkan pada skrin sebagai imej  yang terbentuk dari objek tersebut. Ibn Haytham berjaya menjelaskannya secara terperinci.

Dalam bidang fizik dan matematik pula, Ibn Haytham telah membuat sumbangan yang sangat besar. Beliau telah membangunkan geometri analitikal dengan penemuan hubungan antara algebra dan geometri. Manakala dalam bidang fizik pula, beliau telah mengkaji mengenai pergerakan mekanik tubuh manusia dan beliau merupakan manusia pertama yang menyatakan bahawa tubuh manusia bergerak terus menerus kecuali suatu paksaan dari luar menghalangnya atau mengubah arah pergerakan.

Ibn Haytham telah menulis sebanyak lebih kurang 200 buah buku namun hanya terdapat 55 sahaja yang dapat diselamatkan dan kebanyakannya masih tidak dapat diterjemahkan (penulisan adalah dalam bahasa Arab). Risalah-risalah beliau berkaitan dengan optik kebanyakannya telah diterjemahkan di dalam bahasa Latin.


  • Al'Jami' fi Usul al'Hisab yang mengandungi teori ilmu matematik dan matematik penganalisaannya.
  • Kitab al-Tahlil wa al'Tarkib mengenai ilmu geometri
  • Kitab Tahlil ai'masail al 'Adadiyah mengenai algebra
  • Maqalah fi Istikhraj Simat al'Qiblah yang mengupas mengenai arah kiblat bagi segenap rantau
  • Maqalah fima Tad'u llaih mengenai penggunaan geometri dalam urusan hukum syarak.
  • Risalah fi Sina'at al-Syi'r mengenai teknik penulisan puisi.


Sebagai memperingati jasa Ibn Haytham yang sangat besar, nama beliau Alhazen telah dinamakan ke atas sebuah kawah pada permukaan bulan serta sebuah asteroid iaitu 59239 Alhazen. Selain itu, Universiti Aga Khan, Pakistan telah menamakan Oftalmology endowed chair mereka sebagai "The Ibn-e-Haitham Associate Professor and Chief of Ophthalmology".






0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komentar:

Blog-Blog Lain Yang Menarik