Bagaimana Atasi Masalah Silau Bahagian 2




Post untuk Bahagian 1 yang lepas dah diselesaikan dan bersambung untuk episod kedua yang lebih ganas dan seram. Tetapi telah dibuat penapisan 5 kali secara bersih murni supaya lulus untuk tontonan Umum. Apa la yang dimerepek kerepek ni...Ok back to the topic berkenaan dengan SILAU MENYILAU ni. Post kali ni saya akan kongsi tips untuk mengelakkan silau malam, tambahan kepada post yang lepas. Ok layan...

  Pastikan SEMUA Cermin  Betul-Betul Bersih  

SEMUA cermin bermaksud 


1. Cermin kacamata (jika memakai kacamata) 
2. Contact Lens (terutama jenis keras-RGP)
3. Cermin hadapan kereta (front windscreen)


Objek tersebut merupakan objek lutsinar yang berada di depan mata. Sebarang kotoran yang melekat pada cermin yang saya sebutkan di atas akan membiaskan cahaya dan menyebabkan silau pada mata. Keadaan cermin CALAR BALAR yang calarnya seperti digosok kertas pasir grade paling kasar itu juga akan menyebabkan masalah silau ini menjadi semakin teruk. 

Calar pada kacamata

Calar pada cermin depan kereta


Calar pada permukaan contact lens RGP

Untuk mengatasi masalah tersebut, pastikan SEMUA permukaan cermin sebersih, secerah dan selicin yang mungkin. Jika anda merokok di dalam kereta, bersihkan cermin kereta di bahagian dalam dengan lebih kerap lagi. Selain itu bersihkan juga wiper blade untuk membersihkan kotoran dan mengelakkan cermin kereta menjadi calar.


Jika kenderaan terdapat sebarang keretakan dan serpihan di cermin, jangan berlengah-lengah hantar cepat ke klinik! Banyak "klinik" Doktor Cermin boleh membantu dalam masalah sebegini lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak melanggan insurans cermin. Keretakan atau serpihan kecil yang dibaiki bukan sahaja meningkatkan keupayaan melihat tetapi juga mengelakkan keretakan tersebut menjadi lebih teruk dan menggantinya pada kos yang lebih tinggi. Duit lagi....

Siap ISO tu...

  Laraskan Cermin Sisi  

Sama ada perasan atau tidak, sebenarnya cermin sisi juga boleh menyebabkan silau pada pemandu. Silau menyilau tersebut adalah berpunca dari lampu kenderaan belakang. Laraskan supaya lampu dari kenderaan belakang tidak mengganggu penglihatan dan jika pelarasan anda betul, kawasan blindspot juga dapat dikurangkan.





  Bersihkan Lampu Hadapan Kenderaan  

Berhenti singgah mengisi minyak, kita  pekerja stesyen minyak akan mencuci cermin hadapan dan belakang kenderaan. Seperti juga cermin depan dan belakang kenderaan, lampu depan juga perlu bersih dari kekotoran. Sebarang kotoran yang terdapat di lampu hadapan bukan hanya akan menghalang pemandu untuk melihat dengan lebih jelas pada waktu malam tetapi juga menyilaukan pemandu bertentangan.

Jika menggunakan HID, pastikan lampu kenderaan berada pada keadaan yang bersih. Ini adalah kerana kotoran yang melekat pada HID akan menyebabkan pembiasan yang lebih ketara berbanding dengan lampu halogen biasa dan menyebabkan silau pada pemandu lain. 


  Pastikan Lampu Dihalakan Secara Betul  

Ramai di antara kita yang terlupa untuk melaraskan ketinggian hala lampu kenderaan mereka sehingga menyebabkan kesusahan kepada pemandu lain. Pelarasan yang betul bukan sahaja membantu pemandu lain tetapi juga membantu pemandu sendiri untuk melihat arah dan keadaan jalanraya dengan lebih baik. Jika sedang memandu malam dan kenderaan bertentangan memberi isyarat highbeam, mungkin juga bermakna ada roadblock  di hadapan. Tetapi jika terlalu ramai dan kerap yang memberi isyarat dan tiada satu roadblock pun yang ditemui, jangan segan-segan kucing untuk periksa tahap ketinggian lampu kenderaan. Mungkin misalign dan mencucuk-cucuk mata pemandu lain.





Tips Tambahan Yang Berguna Untuk Anda 

i. Lihat Ke Arah Lain

Jika ada kenderaan dari depan yang lampunya macam spotlight dan menggangu penglihatan anda, alihkan pandangan anda ke arah garisan putih di sebelah kanan jalan ataupun pavement sehinggalah kenderaan tersebut melepasi anda. Walaupun pandangan anda ke arah lain, tetapi anda mempunyai penglihatan periferi iaitu bahagian tepi dan anda akan dapat menyedari kenderaan lain yang melalui anda. Penglihatan periferi berfungsi secara berkesan untuk mengelakkan cahaya masuk terus ke dalam mata dan mengenai bahagian dalam mata yang paling sensitif dengan cahaya. Jika tidak anda akan mengalami "buta" sekejap disebabkan cahaya tersebut.


ii. Gunakan Cermin Belakang Dengan Setting "Malam"

Semua kereta mempunyai "siang/malam" cermin pandang belakang. Pemandu boleh menukarkan cermin pandang belakang tersebut kepada setting malam untuk mengelakkan silau dari cahaya kenderaan belakang. Tarik sahaja punat di belakang cermin tersebut untuk menggunakan mode tersebut. Mode tersebut berfungsi dengan membiaskan cahaya berlebihan dan me"redup"kan cahaya yang dipantulkan tetapi masih memberikan imej yang jelas kepada pemandu.


iii. Gunakan Lampu Pada Masa Yang Betul

Jangan pasang lampu secara tak tentu hala. Jika kenderaan anda mempunyai fog lamp yang cantik lagi canggih, jangan gunakan sewaktu tiada kabus meliputi jalanraya dan jangan gunakan high beam semasa kabus kerana high beam akan mengurangkan keupayaan anda untuk melihat ke depan.


iv. Berhenti Lebih Kerap

Jika anda memandu pada waktu malam untuk jarak yang jauh lebih-lebih lagi pada musim perayaan, berhenti dengan lebih kerap untuk mengurangkan keletihan dan memberikan peluang kepada mata untuk berehat. 




Kesimpulan


Perkara-perkara yang perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah silau ialah:


1. Buat Pemeriksaan Mata Secara Berkala
2. Pastikan SEMUA Cermin Dalam Keadaan Bersih
3. Laraskan Cermin Sisi
4. Bersihkan Lampu Depan Kenderaan
5. Pastikan Lampu Depan Dihalakan Secara Betul


Tips Tambahan
i. Lihat ke arah lain (garisan putih jalan) jika bertentangan silau kereta yang sangat menyusahkan.
ii. Setting cermin pandang belakang kepada mode malam.
iii. Gunakan lampu pada masa yang betul.
iv. Berhenti dengan lebih kerap jika terpaksa memandu pada jarak jauh.


Tammat...
















0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komentar:

Blog-Blog Lain Yang Menarik