Punca Pening Kepala / Mabuk Menonton Filem 3D



Assalamualaikum dan salam ceria,

Simptom pening atau mabuk apabila menonton wayang atau filem 3D bukanlah suatu masalah yang baru diperkatakan. Malah sudah menjadi salah satu sebab utama kebanyakan penonton-penonton untuk mengelak dari menonton filem-filem 3D. Saya pasti ramai di kalangan peminat-peminat filem yang mengalami
masalah ini akan berasa sedikit kecewa kerana tidak dapat untuk menikmati secara tenang teknologi yang canggih ini. Dan saya pasti juga ramai di kalangan pembeli-pembeli televisyen 3D akan berfikir dua kali sebelum mereka melaburkan duit mereka kepada sesuatu yang bakal tidak memberikan mereka kepuasan membeli.


29 FEBRUARI, Filem 3D Malaysia pertama arahan anak tempatan Edry Kru. Bangga skit beb...


Motion Sickness
Sebenarnya, simptom pening atau mabuk filem 3D ini adalah salah satu daripada jenis-jenis mabuk pergerakan (motion sickness). Bukan mabuk minum todi yek huhu.. Mabuk pergerakan ini termasuklah dengan apa yang orang Malaysia sering panggil seperti

  1. Mabuk laut,
  2. Mabuk kereta,
  3. Mabuk kapalterbang dan berbagai-bagai lagi.

Namun begitu, mabuk-mabuk yang saya senaraikan di atas mempunyai sedikit perbezaan dengan mabuk filem 3D ini. Nanti saya akan terangkan apakah perbezaannya di akhir post ini.


Mabuk Filem 3D: Penjelasan Dari Sudut Perubatan
Secara dasarnya, organ-organ yang membentuk sistem di dalam tubuh badan manusia adalah berkait rapat dan berfungsi secara kongruen atau "bergotong-royong". Sistem-sistem ini akan "bergotong-royong" secara dominan bergantung kepada aktiviti yang manusia sedang lakukan pada ketika itu. Seperti contoh, jika anda sedang melihat kepada sesuatu objek maka sistem dominan yang akan bekerja secara kongruen ialah:

  1. Sistem Penglihatan yang berfungsi melihat persekitaran manusia.

  2. Sistem Vestibular yang berupaya mengekalkan keseimbangan tubuh badan. Sistem vestibular ini terletak di bahagian dalam telinga. Telinga bukan hanya berfungsi untuk mendengar sahaja tetapi juga berfungsi dalam pengekalan kestabilan tubuh badan.


Keadaan Normal:
Semasa anda bergerak, sistem vestibular akan mengesan sebarang pergerakan dan akan cuba mengekalkan keseimbangan tubuh badan. Secara logiknya, jika anda bergerak sepatutnya anda juga akan melihat persekitaran anda turut bergerak

Keadaan Tidak Normal (berlakunya mabuk):
Semasa anda menonton filem 3D, anda sedang berada dalam keadaan pegun atau tetap. Namun begitu dalam masa yang sama, anda sedang melihat persekitaran atau objek-objek yang "bergerak" secara maya yang memberitahu bahawa anda turut sedang melakukan pergerakan.

Apa yang berlaku sebenarnya ialah otak anda berfungsi sebagai "orang tengah" di antara sistem penglihatan dan sistem vestibular anda. Jika sistem vestibular menghantar isyarat kepada otak dan memberitahu bahawa anda sedang duduk diam tetapi dalam masa yang sama sistem penglihatan anda (yang sedang sedap menonton filem 3D) menghantar isyarat memberitahu otak bahawa anda sedang bergerak, otak akan mula berasa keliru dengan keadaan anda pada ketika itu.


Otak anda akan menterjemahkan isyarat-isyarat yang tidak kongruen ini bahawa anda sedang berada dalam pengaruh toksin. Oleh itu, otak akan menghantar isyarat kepada anda untuk muntah sebagai cubaan untuk mengeluarkan toksin tersebut dari dalam badan anda.

Perbezaan mabuk filem 3D dengan mabuk pergerakan lain
Seperti yang saya nyatakan di atas, ada beberapa mabuk yang sinonim dengan masyarakat Malaysia seperti contoh mabuk laut, mabuk kereta dan mabuk kapalterbang. Namun begitu terdapat perbezaan di antara mabuk filem 3D dengan mabuk pergerakan tersebut.

Perbezaannya ialah mabuk pergerakan ini adalah dalam keadaan anda bergerak tetapi dalam masa yang sama anda tidak "nampak" pergerakan tersebut. Objek yang berada di persekitaran dekat anda hampir tidak bergerak dan ini menyebabkan berlaku konflik di antara sistem penglihatan dan sistem vestibular anda.

Untuk mabuk filem 3D ini, keadaannya adalah bertentangan dengan keadaan mabuk pergerakan iaitu seperti yang saya terangkan di atas (tubuh badan tidak bergerak tetapi sistem penglihatan menyatakan anda sedang bergerak). Ini dipanggil sebagai Visually Induced Motion Sickness (VIMS).Walaupun terdapat perbezaan ini, namun simptom yang dihadapi anda adalah lebih kurang sama.

Terdapat beberapa teknik mudah untuk anda mengatasi mabuk filem 3D ini yang mana saya akan sambung dalam post yang akan datang. Tungguuuuuu...

Bagi menambah pengetahuan anda bagaimana filem 3D dihasilkan, sila klik link yang telah saya letak di bawah.




Wallahua'lam
Dan Allah Maha Mengetahui dan Lebih Tahu

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komentar:

Blog-Blog Lain Yang Menarik