Latihan Ketajaman Penglihatan Untuk Atlit

PERINGATAN: ARTIKEL INI MENGANDUNGI AKSI-AKSI TIDAK MERBAHAYA. SILA TIRU DAN LAKUKAN DI RUMAH ANDA =)

Assalamualaikum dan salam ceria,

Seperti yang anda ketahui tahap penglihatan terbaik diperlukan untuk seseorang atlit atau ahli sukan itu meningkatkan prestasinya di dalam arena sukan. Tak kiralah sukan apa pun. Bola sepak, Golf, Badminton, Skuasy, Hoki, Tenis dan berbagai-bagai sukan lagi. Namun tidak ramai yang tahu bagaimana untuk meningkatkan tahap penglihatan untuk atlit-atlit.
Untuk pengetahuan semua, seseorang atlit bukan hanya memerlukan penglihatan yang terang benderang ataupun boleh nampak huruf yang halus-halus. Tapi terdapat unsur-unsur lain berkenaan dengan kemahiran penglihatan yang perlu dititikberatkan.

Method atau kaedah kemahiran penglihatan sukan untuk pencapaian optimum atlit sebenarnya adalah berbeza-beza mengikut bidang sukan yang diceburi. Seperti contoh koordinasi mata-kaki adalah sangat penting untuk pemain bola sepak dan tenis. Manakala penglihatan periferi sangat diperlukan oleh pemain bola keranjang. 

Memori Penglihatan (Visual Memory) pula penting untuk pemain berpasukan di mana keputusan  mesti dibuat dalam tempoh yang amat singkat. Bagi sukan golf pula, atlit memerlukan koordinasi tangan-mata yang baik, timing dan persepsi kedalaman untuk memastikan bagaimana dan di mana bola sepatutnya dipukul. 


Dominansi Mata, Fleksibiliti Fokus dan Beberapa Kemahiran Penglihatan Sukan

Saya sertakan di sin beberapa kemahiran asas penglihatan sukan yang mudah dan boleh dilakukan di rumah.


Fleksibiliti Fokus

Nama lainnya ialah Akomodasi. Ini adalah keupayaan memfokus objek dari jarak jauh ke jarak dekat atau sebaliknya. Namun teknik ini tidak berapa membantu jika anda mempunyai masalah presbiopia iaitu jika anda berumur 40 tahun dan ke atas kerana masalah memfokus dekat. Walalubagaimanapun jika anda berumur 40 tahun dan ke atas dan ingin mencuba, anda memerlukan bantuan kacamata sama ada kacamata membaca dekat, multifokal atau bifokal untuk memudahkan melihat jarak dekat.

Tip Mudah: Ubah target fokus anda dari melihat skrin komputer ke objek yang tergantung di dinding atau fokus ke luar tingkap untuk melihat pemandangan sekeliling. Buat berulang kali. Teknik ini bukan hanya meningkatkan kefleksibelan fokus anda tetapi juga merehatkan mata anda selepas menggunakan komputer untuk jangka masa yang panjang.


Kesensitifan Penglihatan Periferi

Kemahiran ini melibatkan kemampuan melihat apa yang berlaku di sekeliling anda tanpa menolehkan kepala. 

Tip Mudah: Untuk meningkatkan kemampuan ini, cuba lihat ke arah kawasan yang sibuk dengan kepala menoleh ke arah sebelah. Contohnya kawasan yang sibuk tersebut berada di kanan anda. Anda terus melihat ke depan dan jangan menjeling. Cuba agak apa yang dilakukan oleh orang ramai tersebut. Jika anda ingin lakukan di rumah, TV dan skrin komputer boleh membantu. Latih teknik ini selang seli iaitu di bahagian kanan dan bahagian kiri.


Tahap Penglihatan Dinamik

Tahap Penglihatan Dinamik membolehkan anda melihat dengan jelas objek yang bergerak pantas. Anda mungkin mempuyai tahap penglihatan 6/6 atau 20/20 semasa duduk secara tegak tetapi tahap penglihatan anda akan berkurangan jika terlibatnya pergerakan. Dalam Ujian Klinikal, anda diminta untuk melihat objek atau perkataan yang bergerak pantas di skrin komputer dan mengenalpastinya sebelum hilang di skrin.

Tip Mudah: Pada mereka yang mempunyai pemain piring hitam lama di rumah ia merupakan pilihan terbaik dalam teknik ini. Potong perkataan-perkataan yang terdapat di dalam majalah dengan saiz yang pelbagai dan lekatkan di atas piring hitam. Pada jarak lebih kurang 1 meter, kenalpasti perkataan-perkataan yang berpusing. Gunakan kelajuan yang berlainan iaitu dari perlahan ke yang lebih pantas. Jika terlalu mudah, anda boleh tukar kepada perkataan-perkataan yang lebih kecil.


Persepsi Kedalaman

Kemahiran ini membolehkan anda menilai berapa jauh jarak objek dari anda. Dalam bidang sukan kelajuan dan jarak adalah sangat penting. Kemahiran ini sebenarnya bergantung kepada fizikal individu. Sebagai contoh, jarak di antara dua mata anda memainkan peranan bagaimana anda melihat sesuatu objek dalam bentuk tiga dimensi.

Tip Mudah: Ambil pen dan penutupnya. Pegang pen dengan tangan kanan dan penutup di tangan kiri. Luruskan kedua-dua tangan dan masukkan pen ke penutupnya. Kaedah lain ialah memasukkan kekacang hijau ke dalam penyedut minuman pada jarak satu lengan.


Penglihatan Warna

Penglihatan warna berkaitan dengan kemampuan anda mengesan perbezaan warna dan bayang. Mempunyai kerabunan warna akan memberikan masalah kepada sebilangan atlit terutamanya atlit lelaki. Kerabunan warna yang sering terjadi dan diwarisi ialah masalah rabun warna merah-hijau. Atlit akan susah untuk melihat bola yang berwarna merah di atas bola padang hijau.

Tip Mudah: Jika anda seorang yang rabun warna sudah tentu latihan tidak akan menjanjikan apa-apa perubahan namun anda boleh menggunakan kacamata atau kanta sentuh khusus untuk mereka yang rabun warna. Penggunaan kacamata atau kanta sentuh tersebut akan meningkatkan keupayaan anda membezakan warna. Anda juga boleh bereksperimentasi dengan beberapa warna cermin untuk mengetahui warna kanta apa yang paling sesuai untuk anda.


Dominansi Tangan dan Mata 

Kepentingan dalam mengetahui dominansi mata adalah sama pentingnya dengan dominansi tangan. Dominansi tangan bermaksud tangan mana yang anda gunakan setiap hari untuk menulis dan aktiviti lain. Dominansi ini akan menentukan ke arah mana pergerakan tubuh badan anda. 

Sama juga seperti mata. Setiap atlit perlu mengetahui mata mana yang lebih dominan kerana mata yang dominan akan memproses informasi dengan lebih tepat dari mata yang kurang dominan.

Sebagai contoh, mengetahui mata mana yang lebih dominan membantu atlit memposisikan mata dan kepala untuk menafsirkan pergerakan pantas. Contoh sukan ialah bola keranjang atau baseball.

Sesetengah atlit mempunyai dominan silang (cross-dominan) iaitu atlit yang dominan tangan kanan mempunyai dominan mata kiri dan juga sebaliknya. Dalam beberapa jenis sukan, ini akan memberi kelebihan kepada atlit namun begitu keadaan dominan silang ini akan menjadi kelemahan yang ketara bagi sukan memanah atau menembak di mana separuh badan digunakan untuk menenang dan menembak.

Tip Mudah: Dalam menembak sasaran, tangan dan mata yang dominan akan bekerja bersama danmenjadi lebih cekap jika mereka berada pada bahagian badan yang sama. Oleh itu jika atlit mempunyai masalah menembak, berkemungkinan dominan silang menjadi punca. Atlit perlu lakukan sedikit perubahan seperti menukar cara memegang senjata pada tangan yang dominan supaya mata dan tangan yang dominan berada pada sisi yang sama.


Latihan Penglihatan Sukan Bagi Atlit Profesional

Bagi atlit-atlit profesional, mereka dinasihatkan untuk berjumpa dengan pakar penglihatan sukan untuk ujian dan latihan. Selain itu atlit juga boleh mendapatkan nasihat berkenaan kacamata khusus untuk sukan seperti goggles atau kanta yang berwarna.


Ok diharapkan artikel kali ni dapat membantu dan meningkatkan lagi kefahaman anda berkenaan dengan fungsi mata di dalam sukan dan juga bagaimana untuk menajamkan kemahiran tersebut. Di bawah merupakan game Visual Memory. Perlahankan dulu volume suara lappy atau pc anda..saya tak tau code HTML untuk perlahankan suara die...huhuhuhu...Selamat Mencuba!!











0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komentar:

Catat Ulasan